JANUARI 2023

Formula Jumlah Kenaikan Pemberian Khas Sarawak, Sabah Dimuktamad Februari


KUCHING: Kabinet bersetuju untuk menambahbaik peruntukan di dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan melibatkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Fadillah Yusof berkata, formula dari segi jumlah kenaikan pemberian khas ini akan dimuktamad dalam mesyuarat yang akan dipengerusi Perdana Menteri di sini, Februari nanti.

"Secara prinsip, jemaah menteri bersetuju mempertimbangkan penambahbaikan pemberian khas sedia ada kepada kedua-dua negeri itu," katanya menerusi kenyataan media.

Fadillah memberitahu, jemaah menteri juga bersetuju mengiktiraf agensi teknikal di Sabah dan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai Jabatan Teknik. 

"Dengan pengiktirafan ini, JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta," jelasnya.

Katanya, kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Sabah yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambahbaik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak. 

"Projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap.

"Kerajaan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang terbahagi kepada dua fasa iaitu SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng), kini sudah 10 peratus siap dan SSLR Fasa 2 serta Lebuh Raya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas. 

"Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya (KKR) selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024.

"Ini semua membuktikan komitmen dan kesungguhan tekad Kerajaan dalam menyelesaikan semua isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) yang masih lagi tertunggak dan memartabatkan MA63 serta memantapkan infra rakyat di kedua-dua negeri berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan telah memutuskan supaya siri rundingan terdahulu berkaitan MA63 diteruskan di peringkat pegawai untuk tindakan Kementerian dan Agensi akan dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) atau Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

"Apa yang telah dipersetujui dan diluluskan oleh Jemaah Menteri ialah memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) melalui MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan melibatkan Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah," ujarnya.

Katanya lagi, mesyuarat pertama dijadual pada Februari 2023 yang juga akan menjadi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Ke-10 ke Sarawak.

"Manakala, bagi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri, akan melihat dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamadkan semua perkara yang belum diputuskan untuk di bawa ke MTPMA63.

"Apa yang sudah dimuktamadkan ialah proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Sabah dengan ia juga sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022," ujarnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti